suria

Rasuah: Bekas Pengarah JPS KL, Pelukis Pelan Didakwa Lagi

Abu Bakar ketika tiba di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Seremban untuk pertuduhan tambahan, Jumaat.

PETALING JAYA: Sehari selepas didakwa berhubung kes rasuah di  mahkamah di Shah Alam, bekas pengarah dan pelukis pelan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan kini menghadapi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Seremban, Jumaat.

Datuk Abu Bakar Mohd Yusof, 60, dan Mohd. Nasir Mohd. Isa @ Maidin, 44, masing-masing dituduh dengan satu pertuduhan berasingan dan satu pertuduhan bersama.

Ia berkaitan kesalahan menerima suapan daripada pemilik syarikat Mazlan Jamaluddin sebagai dorongan tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak kerja pengeluaran bahan batuan, pasir dan mendapan yang dibuat syarikat Warna Generasi Sdn Bhd.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuduh kedua-duanya semalam berhubung isu sama. Mereka sebelum ini disiasat melakukan kesalahan menerima rasuah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengikut pertuduhan pada Jumaat, kedua-dua tertuduh masing-masing dituduh menerima suapan berbentuk penginapan di Hotel Thistle Port Dickson Resort, Teluk Kemang, Port Dickson yang bernilai RM4,568.00 dan RM1,422.00 daripada Mazlan.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 12 dan 14 Jun 2015 lebih kurang jam 9.43 pagi di hotel sama.

Mohd Nasir menghadapi pertuduhan tambahan bersama Abu Bakar, di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Seremban, Jumaat.

Bagi pertuduhan bersama, Abu Bakar dan Mohd. Nasir didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Mazlan.

Kedua-dua dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 14 Jun 2015, lebih kurang pukul 12 tengah hari di sebelah kolam renang hotel berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail, manakala Abu Bakar diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Mohd. Nasir pula Yusmadi Yusoff.

Bagi pertuduhan berasingan, Hakim Madihah Harullah membenarkan Abu Bakar dan Mohd. Nasir masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan bersama, kedua-dua tertuduh juga masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kes ini akan disebut semula pada 18 November 2015.


JPS, SPRM, Mazlan Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain