suria

Ketua Hakim Negara Dahului Senarai 983 Penerima Darjah Kebesaran Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendahului senarai 983 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena ulang tahun ke-62 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang akan disambut esok.

Arifin antara empat penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) iaitu darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah yang membawa gelaran "Datuk Seri Panglima".

Tiga yang lain ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pula mendahului senarai 48 penerima darjah kedua tertinggi negeri iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Antara individu ternama yang menerima PGDK ialah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun; Adun Bongawan, Mohamad Alamin; Pemangku Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Yakub Khan; Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Kinabalu, Datin Sharifah Habib Alawi; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Ginun Yangus; dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dr Moktar Yassin Ajam.

Penerima PGDK yang lain ialah Abdullah Mohd Mahyuddin, Adnan Puteh, Anthony Lamb, Anuar Safian, Arsit Sedi @ Sidik, Awang Alek Jeman, SAC Azham Othman, Chin Teck Seng, Francis Lee Chin Young, Goh Wah Young @ Gerald Goh, Gullam Hassan Yacob, Hamid Tan, Dr Heng Aik Cheng, Iain John Lo, Ijap Tayong, Jaimin Samitah, Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali, Kapten Jayaram Nair, Jemil Sida, Jilid Kuminding @ Zainuddin, Kamariah Mohd Noah, Kamaruzzaman Ab Salleh, Katherine Lee Mei Oi, Koris @ Konis Sakida, Liew Kong Khai, Lim Henn Jin @ Margaret Lim, Mahmud Amat Shah, Maimunah Khalid, Prof Madya Mohd Dandan @ Ame Alidin, Nellie Sikodol, Dr Ng Chee Hing, Dr Pulivendhan Sellamuthu, Sia Hiong Sing, Sia Teong Heng, Siau Wui Kee, Steven Joker @ Steven Gunsalam, Teo Chit Ming @ Teo Chee Ming, Tiyunin Jeman, Wong Chen Khiong @ Ridza Wong, Wong Kon Fan dan Zaiton Ajamain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula antara 11 orang yang dianugerahkan Jaksa Pendamai (JP).

Turut dianugerahkan JP ialah Exco Penerangan Sabah Datuk Sapawi Ahmad, Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hamra Juhar yang juga anak Yang Dipertua Negeri dan Pengarah Kastam Negeri Datuk Dr Janathan Kandok.

Selain itu, Cheng Ho Wah @ Roland Cheng; Datin Barbara @ Silvia Edward; Datuk Ruddy Awah; Datuk Nancy Ho Chow Hsin @ Nancy Chow; Datuk Tang Ling Sing @ Tang Lung Sing; Kwan Yuen Sin Elaine dan Saiful Azlan Mokhtar juga menerima JP.

Seramai 70 orang pula menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) termasuk Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais, ahli geologi Prof Dr Felix Tongkul, Komander Polis Marin Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun, Pengarah Imigresen Sabah Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi, Ketua Pemuda Umno Sabah Yamani Hafez Musa, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan wartawan TV3 Elphege Godomon.

Kakitangan Jabatan Penyiaran Sabah Lailah Elok juga antara 124 penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

Sementara itu, malim gunung yang terkorban semasa kejadian gempa bumi di Ranau pada 5 Jun lepas iaitu Joseph Salungin, Ricky Masirin, Robbie Sapinggi dan Vallerian Joannes adalah antara 320 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK).

Turut menerima BSK ialah Apolos Jeremos, seorang anggota bomba yang terkorban dalam operasi memadam kebakaran di Sandakan pada Julai lepas.

Seramai 268 lagi menerima Bintang Kinabalu (BK) dan 138 orang lagi menerima Sijil Kehormat (SK). -- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Lain