suria

Penyakit Anjing Gila Masih Terkawal - Dr Hilmi

BALIK PULAU: Penyakit anjing gila atau rabies di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Katanya, sehingga kini tidak ada kes manusia yang dijangkiti virus itu di negara ini dan kementerian sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Dr Hilmi berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana setiap hospital di negeri terlibat telah dibekalkan sejenis serum iaitu 'immunoglobulin' yang akan memberi mangsa antibodi untuk melawan virus anjing gila.

"Vaksin telah kita beri pada setiap hospital di Pulau Pinang, semua dapat vaksin. Bekalan vaksin dalam keadaan mencukupi, jadi jangan bimbang. Kita memang terus memantau keadaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan lembu korban di Parlimen Balik Pulau, di sini, Rabu.

Sebanyak 23 lembu diserahkan kepada 20 masjid di Parlimen Balik Pulau dan agensi kerajaan terpilih.

Pada masa sama, Dr Hilmi berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengambil langkah berjaga-jaga dan memainkan peranan penting bagi mengawal penyebaran penyakit anjing gila itu.

Ditanya mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang mahu membekalkan vaksin untuk anjing liar di negeri ini, Dr Hilmi berkata NGO terbabit perlu mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kerajaan negeri berhubung perkara itu.

"Mungkin itu tindakan yang terbaik. Mereka perlu berbincang semula dengan kerajaan negeri dan veterinar," katanya. 

Terdapat 12 individu dengan sembilan daripadanya di Perlis, Pulau Pinang (dua) dan Kedah (satu) yang sehingga kini telah diberi rawatan vaksin akibat digigit anjing yang positif rabies.

Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus yang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti penyakit itu.

Jangkitan rabies pada manusia kali terakhir direkodkan di negara ini pada 1999, manakala jangkitan pada anjing adalah pada 2009 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Malaysia bebas rabies pada 2012.-- Bernama


anjing gila, Dr Hilmi Yahaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain