suria

Himpun 16 Bukti Orang Melayu Bersatu - Syed Ali

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee
KUALA LUMPUR: DAP telah memandang ringan kekuatan Umno untuk bangkit mempertahankan hak dan maruah orang Melayu, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua Umno Bahagian Cheras berkata kekuatan ini terbukti pada perhimpunan Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

"DAP termasuk bukan Melayu harus ingat, Umno serta orang Melayu tidak akan selama-lamanya berdiam diri," tulis beliau dalam blognya, Khamis.

Beliau berkata, sebelum ini DAP termasuk golongan anti-kerajaan berbangga dengan perhimpunan haram Bersih, sambil mendakwa Umno tidak mempunyai kekuatan.

"Oleh sebab itu, perhimpunan Bersih 4 telah mengumpul bukan Melayu terutama orang Cina bagi menunjukkan mereka telah bersatu untuk menentang Umno.

"Percaturan DAP termasuk PKR ternyata silap kerana Umno masih relevan dan mendapat tempat di hati orang Melayu," katanya.

Syed Ali bagaimanapun menyangkal dakwaan kononnya Umno rasis dan hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Sebaliknya, beliau menyalahkan DAP kerana mencanangkan persepsi itu.

"Ya, Umno pertahankan Melayu, ratusan ribu ahli Umno akan bangkit jika keadaan sudah melampau, tetapi kita bukannya rasis.

"Dakwaan Umno rasis karut, Umno tidak sepertimana DAP, tuduhan itu diputarbelit setelah mereka menyedari orang Melayu masih ada maruah dan harga diri," tegasnya

Tambahnya, jika maruah orang Melayu dan kesucian Islam diperlekeh dan dipersendakan, Umno pasti akan bangkit mempertahankannya.

"Semalam, Umno sudah buktikan, mesejnya ialah orang Melayu akan bersatu daripada segenap penjuru untuk menentang sebarang petualang," kata Syed Ali.

Beliau berkata perhimpunan itu juga membuktikan bahawa orang Melayu bersatu, tanpa mengira fahaman politik mereka.

"Umno sentiasa mendokong prinsip setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) dan menghormati hak serta kebebasan bukan Melayu.

"Walaupun memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu tetapi tidak pernah berlaku zalim kepada bukan Melayu," katanya.

Artikel Lain