suria

Penghantar Surat Didenda Kerana Cederakan Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penghantar surat didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya minggu lepas.

P. Tiruchelvam, 27, didakwa mencederakan isterinya N. Kogilavani, 30, dengan menumbuk kepala dan tangan kirinya serta menarik rambutnya di rumah mereka, di PPR Desa Rejang, Setapak di sini pada 7.30 pagi, 28 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin turut memerintahkan Tiruchelvam dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Ketika rayuan, peguam Nasiruddin Nasir yang mewakili Tiruchelvam, merayu supaya anak guamnya diberikan peluang kedua kerana ini kesalahan pertama tertuduh dan pergaduhan berpunca disebabkan dia gagal mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya memandangkan jenayah keganasan rumah tangga semakin menjadi-jadi kini.

Mahkamah, Denda, Penghantar Surat

Artikel Lain