suria

Suspek Penjenayah Ditembak Mati, Rakan Cedera

KLANG: Seorang lelaki disyaki penjenayah pecah rumah mati ditembak manakala rakannya yang juga orang paling dikehendaki polis sejak 15 tahun lepas, cedera ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bandar Bukit Tinggi, di sini pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abdul Razak berkata lelaki berumur 35 tahun yang duduk di sebelah kerusi pemandu itu, mati kerana kecederaan pada rusuk kanan manakala pemandu kereta tersebut pula cedera di tangan kanan akibat terkena tembakan.

"Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, polis mengesan kedua-dua lelaki berkenaan di dalam sebuah kereta di Bayu Perdana di sini dan cuba menahan mereka.


"Sebaliknya, pemandu kenderaan itu terus memecut sejauh lima kilometer hingga ke kawasan sebuah pangsapuri di Jalan Batu Nilam 34 di sini, walaupun beberapa kali cuba dipintas kereta peronda polis.

"Suspek juga bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis dan beberapa kereta milik orang awam, menyebabkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah kereta itu demi keselamatan orang ramai yang keluar bekerja ketika itu," katanya.


Suspek yang cedera itu cuba melarikan diri namun berjaya diberkas dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut.


Azman berkata suspek warga tempatan yang cedera itu berumur 34 tahun dan sangat dikehendaki polis sejak tahun 2000 kerana terlibat dalam pelbagai jenayah samun serta pecah rumah, selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes sama.

Katanya, suspek juga merupakan dalang satu kumpulan pecah rumah yang tumpas kira-kira tiga bulan lepas dan dia dipercayai terlibat dalam hampir 15 kes samun dalam tempoh dua bulan di daerah Klang.


"Lelaki yang ditembak mati itu juga seorang warga tempatan dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Dia dipercayai terlibat dengan suspek dalam kes pecah rumah," katanya.

Azman berkata hasil pemeriksaan turut mendapati kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki itu adalah kenderaan curi.


Polis turut menemui sebilah pisau yang mempunyai kesan darah serta satu serkup kepala di dalamnya.
Mayat lelaki yang ditembak mati dihantar ke HTAR untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya.
ACP Azman Abdul Razak

Artikel Lain