suria

SKMM Perlu Ambil Tindakan Tegas Pihak Sebar Gambar, Maklumat Palsu Di Laman Sosial

Zambry Abdul Kadir

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebar gambar dan maklumat palsu di laman sosial bagi menimbulkan keresahan dan perasaan panik rakyat.

Beliau berkata semalam rakyat digemparkan dengan gambar dan maklumat palsu di laman sosial berhubung kejadian puting beliung dan pokok tumbang menghempap beberapa buah kereta di Lumut.

"Pihak yang memuat naik gambar dan maklumat palsu dalam laman sosial adalah tidak bertanggungjawab...mereka mengambil kesempatan untuk mewujudkan suasana panik, takut dan boleh menjejaskan keselamatan rakyat di Perak.

"Kita semak, perkara itu tidak berlaku sama sekali kerana puting beliung itu berlaku di Mexico tetapi ia didakwa berlaku di Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, Rabu.

Beliau berkata pihaknya tidak akan membiarkan perkara sedemikian berlaku dan SKMM perlu bertindak segera bagi mengenal pasti siapa yang melakukan perkara ini.

Zambry berkata selain itu, terdapat juga pihak yang memuat naik gambar  gajah liar di Jalan Gerik-Jeli di laman sosial sehingga menimbulkan suasana panik rakyat di seluruh negara yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata tindakan sedemikian sememangnya dirancang dengan teliti untuk memberitahu rakyat kononnya kejadian itu benar berlaku.-- Bernama


SKMM, laman sosial

Artikel Lain