suria

Tiga Lelaki Racun Anjing Sebelum Pecah Masuk Banglo Di Bukit Jambul

Mior Faridalatrash Wahid

GEORGE TOWN: Tiga lelaki bertopeng memecah masuk sebuah banglo di Tingkat Bukit Jambul, di sini awal pagi ini dan melarikan wang tunai serta pelbagai barang bernilai lebih RM7,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner  Mior Faridalatrash Wahid berkata, kumpulan perompak itu telah meracun hingga mati dua ekor anjing pemilik rumah berkenaan sebelum memasuki banglo tiga tingkat itu kira-kira pukul 3 pagi.

"Pasangan suami isteri berusia 40-an yang sedang tidur di ruang tamu dikejutkan oleh seseorang dan apabila membuka mata, mereka melihat tiga lelaki berpakaian serba hitam, memakai topeng muka serta memegang kayu, pemutar skru dan pisau berada di ruang tamu rumah mereka," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, mereka kemudian mengikat tangan pasangan itu dengan wayar elektrik sebelum dua daripada lelaki terbabit ke tingkat atas menyelongkar barang-barang berharga.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit melarikan diri bersama-sama dua telefon bimbit, tablet, kamera, kad pengenalan, pasport dan lesen memandu serta sejumlah wang milik mangsa menyebabkan pasangan itu kerugian lebih RM7,000," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan percakapan ketiga-tiga lelaki itu seperti yang dilapor pasangan berkenaan, polis percaya mereka adalah rakyat asing.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata kertas siasatan kes dera kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun di Pangsapuri Jelutong Indah di sini, telah siap dan dihantar kepada Ketua Unit Perundangan (KUP) hari ini.

"Kami telah merekod keterangan lapan individu termasuk bapa, guru dan jiran mangsa," katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang Said Sidup ketika  dihubungi berkata dua beradik yang didakwa didera ibu tiri mereka itu dibenar keluar dari Hospital Pulau Pinang semalam dan kini di bawah jagaan jabatan itu.

Kes dera dua beradik itu disedari apabila seorang guru sekolah kanak-kanak berusia lapan tahun itu mendapati murid tahun dua itu mempunyai kesan luka dan lebam dan hasil siasatan lanjut mendapati adiknya juga mempunyai kesan yang sama.-- Bernama


Artikel Lain