suria

Dadah Bernilai RM3 Juta Dirampas Di KLIA

SEPANG:  Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan beberapa percubaan untuk menyeludup bahan-bahan berbahaya ke negara ini dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta dalam tempoh lima hari.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata tiga warga asing juga ditahan antara 3 Ogos dan 8 Ogos dalam dua tangkapan berasingan.

Dalam kes pertama, anggota kastam menemui 2.548kg ketamin yang disembunyikan bersama sembilan paket makaroni dalam kotak yang tidak dituntut yang tiba dari Lagos, Nigeria pada 29 Julai.

Chik Omar berkata pegawai Kastam merampas bungkusan yang tidak dituntut itu pada pukul 3 petang pada 3 Ogos selepas percubaan menghubungi nombor telefon yang tertera di kotak itu gagal.

"Kami masih mengesan pemilik bungkusan itu," kata beliau sambil menambah dadah itu bernilai RM 95,850.

Dalam kes kedua, anggota kastam merampas 5.115kg methamphetamine daripada warga India berusia 56 tahun di balai ketibaan KLIA pada pukul 7.45 pagi Sabtu.

Chik Omar berkata bahan itu yang bernilai RM 971,850, ditemui tersembunyi di bawah tekstil dalam ruang khas dalam bagasi wanita terbabit.

"Dia baru sahaja tiba di KLIA dari Chennai. Beliau telah memasuki negara ini sebanyak empat kali sebelum ini untuk tujuan perniagaan," jelas beliau.

Dalam penerbangan yang sama, pasangan suami isteri dari Chennai juga ditangkap kerana disyaki cuba menyeludup 10.17kg methamphetamine ke negara ini melalui KLIA.

Lelaki itu yang berusia 42 tahun, dan isterinya, 34, telah ditangkap pada pukul 7.40. Dadah yang disembunyikan itu, bernilai RM 1.932 juta juga didapati tersembunyi dalam ruangan khas dalam dua beg bagasi.

Chik Omar berkata, suspek lelaki telah memasuki negara ini 20 kali sejak 2013 manakala isterinya telah memasuki Malaysia sembilan kali tahun ini.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Artikel Lain