suria

Umno Semporna Pilih Muhyiddin, Shafie Tetap Setia

Shafie ketika berkunjung ke kediaman Muhyiddin pada hari pengumuman rombakan Kabinet dua minggu lalu.

PETALING JAYA: Selepas memutuskan untuk membatalkan jemputan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merasmikan mesyuaratnya, Umno Bahagian Semporna akhirnya memilih Tan Sri Muhyhiddin Yassin untuk melaksanakan amanah itu.

Keputusan itu mengesahkan kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini yang memaklumkan sedang mempertimbangkan untuk menjemput sama ada timbalan presiden parti itu atau mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian berkenaan yang akan berlangsung 15 Ogos ini menjadi pentas parti yang pertama dihadiri kedua-dua pemimpin yang digugurkan daripada Kabinet itu.

Sumber Umno bahagian itu memberitahu, desakan di peringkat akar umbi adalah faktor utama pihaknya berusaha untuk mendapatkan kehadiran bekas timbalan perdana menteri itu.

"Sentimen di bawah mahu mendengar dari mulut timbalan presiden sendiri dan setidak-tidaknya meyakinkan rakyat Semporna bahawa Datuk Seri Shafie tidak keseorangan di dalam menyatakan kebenaran.

"Tambahan pula, kedua-duanya disekat daripada merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian Umno yang sedang berlangsung sekarang.

"Wajar kiranya Umno Semporna menjemput Tan Sri Muhyiddin untuk memberikan platform seluas-luasnya untuk beliau memberi penjelasan di dalam platform parti," katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Tambah sumber itu lagi, desakan akar umbi disampaikan kepada bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menerusi setiausaha bahagian dan mantan setiausaha politik beliau pada hari sama Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet.

"Warga Semporna menyambut baik kehadiran Tan Sri Muhyiddin," katanya.

Rombakan Kabinet dua minggu lalu menyaksikan Muhyiddin dan Shafie digugurkan.

Susulan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno dilantik menggantikan Muhyiddin, manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tempat Shafie.

Pada Ahad, ketika menghadiri sambutan majlis Aidilfitri Naib Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Shafie, bekas menteri itu meluahkan perasaannya menerusi lagu Ku Tak Ingin Sendiri .

Bagaimanapun, lirik lagu itu diubah seperti berikut bagi menepati situasi yang dialaminya ketika ini.

"Aku masih seperti yang dulu
Orang Umno sampai akhir hayatku
kesetiaanku tidak luntur
Hatiku rela berjuang
Ohh kasih ohh sayang 

"Biarkanlah aku memiliki
Semua cinta yang ada di hatimu
Apapun kan ku berikan
Cinta dan kerinduan
Untukmu dambaan hatiku
Undilah Barisan."







Artikel Lain