suria

Malaysia, Singapura Perlu Terus Maju Dalam Semangat Manfaat Bersama - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dan Singapura perlu terus maju dalam semangat manfaat bersama.

Beliau menggesa rakyat Singapura untuk tidak menghakimi Malaysia menerusi apa yang mereka baca di media sosial, atau kenyataan-kenyataan bermotifkan politik oleh pihak tertentu yang memburuk-burukkan Malaysia.

Najib berkata rakan sejawatnya dari Singapura Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan beliau bersetuju bahawa kedua-dua negara tidak sepatutnya dibebani oleh sebarang isu berkaitan dengan masa lepas.

Zaman apabila sesetengah pihak menganggap perjanjian merupakan satu kelemahan sudah berlalu.

"Masa depan kita adalah sebagai rakan kongsi. Malah, baru-baru ini terdapat cadangan bahawa kedua-dua negara kita patut merumuskan bidaan Olimpik secara bersama-sama," kata Perdana Menteri dalam blog beliau Isnin.

Najib ialah antara pemimpin asing yang menghadiri perbarisan Hari Kebangsaan bersempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Singapura pada Ahad.

Beliau diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan Malaysia kekal stabil dan selamat bagi tetamu dan juga rakyat Malaysia.


"Hakikatnya adalah kami berkongsi aspirasi anda dalam tadbir urus baik, bagi ekonomi yang kukuh, inklusif dan mampan menerusi asas-asas yang kukuh, dan bagi kestabilan, keharmonian dan kepelbagaian.


"Sebab itu kami menjadi rakan kongsi yang baik, dan atas sebab itu Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan saya akan terus bekerjasama rapat untuk membawa manfaat-manfaat untuk semua rakyat Malaysia dan rakyat Singapura".

Mengimbas 50 tahun lepas ketika Singapura menjadi sebuah negara merdeka,  Najib berkata: "Sebagai budak berumur 12 tahun, saya sedar signifikan Malaysia mendapat jiran baharu dan kedua-dua negara kita menyelesaikan sempadan negara kita - kedua-dua negara mengharungi pengalaman dan pengembaraan kemerdekaan masing-masing, berserta semua peluang dan kekangan yang dihadapi negara-negara membangun pada 1960-an.


"Pastinya, kami menaruh minat terhadap Singapura; sejarah dan geografi mengikat kita."

Memberikan contoh perumpamaan "Sedangkan lidah lagi tergigit", Najib berkata: "Pendek kata, kita ditakdirkan untuk bergandingan dan perlu saling bekerjasama, bukan bersaing.

Sejak beberapa dekad lepas, beliau berkata, Malaysia mengikuti dengan dekat kemajuan Singapura dan juga bersedih dengan kematian (Perdana Menteri pertama Singapura) Lee Kuan Yew pada Mac.

"Visi beliau telah mencorakkan kemajuan Singapura, dan beliau dikagumi oleh rakan dan juga pengkritik," katanya.

Najib berkata Malaysia dan Singapura turut mempunyai perbezaan pendapat, tetapi mereka sentiasa berjaya mencapai yang terbaik apabila mereka sama-sama bekerjasama secara pragmatik "dan kita mempunyai banyak yang boleh dibanggakan".

"Perubahan pendekatan antara kedua-dua negara kita diberikan penekanan tidak lama selepas saya menjadi Perdana Menteri," katanya.

Najib menegaskan penyelesaian menang-menang dalam Butiran Perjanjian pada 2010 -- selepas tertangguh 20 tahun adalah contoh bagaimana kedua-dua negara memilih untuk maju ke hadapan dalam semangat manfaat bersama, dan mengetepikan perkara yang menjadi halangan sejak sekian lama.


"Saya gembira dengan hasil-hasil daripada hubungan rapat kita, dan berharap untuk mencapai lebih banyak lagi."


Beliau juga berkata orkid hibrid yang diberi nama Dendrobium Najib Rosmah susulan lawatan beliau ke Taman Botani Singapura pada 2009, adalah lambang hubungan antara Malaysia dan Singapura.

"Ia perlu dipupuk dengan baik - dengan itu ia akan terus berkembang."

Artikel Lain