suria

Kristian Bukan 'Pecah Belah Melayu' - Majlis Gereja Malaysia

Dr Hermen Shastri.

PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia (CCM) menggesa Menteri Pendidikan yang baharu supaya membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya yang mendakwa Kristian "memecah-belahkan kaum Melayu".

Setiausaha Agung CCM, Dr Hermen Shastri dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, majlis itu amat bimbang terhadap kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan menggesa beliau supaya menjelaskan 'kenyataan yang memudarat dan memecahbelahkan".

"Pertama sekali, adalah salah mengaitkan kami penganut agama Kristian dengan Yahudi. Ia sangat mengelirukan untuk mengaitkan kami dengan Yahudi dan lebih buruk lagi apabila mengatakan kami cuba untuk memecahbelahkan kaum Melayu atau mana-mana kumpulan.

"Sehubungan itu, kami menggesa menteri untuk menjelaskan kenyataannya yang memudaratkan dan memecahbelahkan dan adalah lebih baik lagi memohon maaf terhadap kenyataan yang dikeluarkan.

"Beliau tidak sepatutnya membuat dakwaan palsu yang mendatangkan keburukan dan boleh dianggap menjejaskan perpaduan negara," kata Shastri.

Beliau berkata, komen Mahdzir hanya akan menyebabkan kebimbangan di kalangan orang Kristian dan rakyat Malaysia berfikiran terbuka serta sederhana.

"Beliau sepatutnya mempromosikan perpaduan dan keharmonian negara, daripada memecahbelahkan pelbagai kaum di negara ini," tegas Shastri.

Pada Ahad, Mahdzir didakwa menyalahkan Yahudi dan Kristian kerana mempunyai agenda untuk memusnahkan Malaysia dengan menyamakan negara-negara seperti Syria, Afghanistan, Algeria dan negara-negara Islam lain yang sedang bergolak.

Artikel Lain