suria

Anak Perempuan Dibunuh, Penantian 10 Tahun Tuntut Keadilan Berakhir

ALOR SETAR: Seorang jurujual kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad selepas didapati bersalah membunuh seorang eksekutif pemasaran, pada 2006


Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Shahril Jaafar, 34, di akhir kes pembelaan.

Shahril, yang memakai baju berwarna biru, kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan dan memeluk ahli keluarganya setelah prosiding selesai.

Shahril, didakwa membunuh Chee Gaip Yap, 25, yang juga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, pada 14 Jan 2006 antara pukul 5.30 petang dan 3.05 pagi 15 Jan 2006 di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.


Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebelum itu dia ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan membunuh eksekutif pemasaran itu.
Mayat Chee ditemui pada awal pagi 15 Jan 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang dan dipercayai dirogol.

Kejadian berlaku semasa Chee berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.

Shahril terlepas hukuman mati mandatori apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar membebaskan beliau daripada tuduhan tersebut, bagaimanapun pada 13 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata keterangan saksi pembelaan ketiga iaitu bapa tertuduh dalam perbicaraan bercanggah dengan pihak polis ketika dalam siasatan.

"Keterangan saksi ketiga sebenarnya hanya menafikan telah membuat kenyataan berkaitan, dan tidak sebenarnya membuat penjelasan bagaimana keterangan tersebut wujud. Saksi telah gagal memberikan penjelasan tentang keterangan tersebut, di dalam keadaan kes ini, kebolehpercayaan dan keterangan saksi tertolak, tidak boleh dipertimbangkan," katanya.

Kes itu mendapat perhatian umum kerana Shahril, anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk', melarikan diri ke Perth pada 2006 sehingga mendapat taraf pemastautin tetap Australia.


Dia mengambil kesempatan melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui dan diberkas semula oleh polis sejurus tiba dari Perth di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Jan 2012.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Raya Negeri Kedah, Salim Soib manakala tertuduh diwakili peguam bela Shamshul Sulaiman.
Shahril Jaafar, Chee Gaip Yap

Artikel Berikut

Artikel Lain