suria

Ahli Silap Mata Kelahiran P.Pinang Bersinar Di Hollywood

Minat Kabir Khan dalam seni silap mata turut dijadikan kisah dalam sebuah buku, 'The Success Principle', karya Jack Canfield. - foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Siapa kata impian fantasi seperti berhasrat menjadi ahli silap mata paling terkenal di dunia adalah matlamat yang tidak munasabah atau sekadar kisah dongeng.

Kabir Khan Mohamad Reaz berlainan pendapat dan percaya impian itu boleh dicapai menerusi kerja keras dan keazamanan.

Bermula daripada membuat silap mata kepada golongan kaya dan terkenal di Hollywood sehinggalah di hadapan golongan diraja di Dubai, ahli silap mata terkenal Malaysia, Kabir Khan, 30, mempunyai rekod pencapaian yang hebat di seluruh dunia.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu Bernama, beliau memilih untuk berada dalam bidang ini selepas terpesona dengan persembahan oleh ahli silap mata terkenal David Copperfield dalam program televisyen yang ditontonnya ketika berusia enam tahun.

Kabir Khan berkata persembahan itu telah mencetuskan minatnya dan beliau kemudian mengejar impiannya untuk menjadi ahli silap mata di Academy of Magical Arts, Magic Castle, Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan graduan dalam Ketangkasan dan Penyulapan Manual (permainan silap mata) dari Chaves Studio of Magic di Los Angeles dan McBride School of Magic and Mystery di Las Vegas.

Kelayakan ini menjadikan beliau seorang daripada beberapa ahli silap mata yang diperakui di dunia.

Minatnya dalam seni silap mata turut dijadikan kisah dalam sebuah buku, 'The Success Principle', karya Jack Canfield.

"Semuanya adalah mengenai teknik yang betul dan bagaimana anda sendiri berpegang kepada impian anda untuk menjadikannya satu realiti.

"Sudah tentu orang akan ketawa apabila saya kata saya mahu menjadi ahli silap mata, tetapi dengan keazaman dan panduan daripada keluarga dan semua orang, saya berjaya berada di mana saya ada sekarang," katanya.

Perjuangan hidupnya untuk menjadi ahli silap mata terkenal di peringkat antarabangsa dipaparkan dalam buku terlaris New York Times 2015, 'The Success Principles 10th Anniversary Edition', yang ditulis Canfield sendiri.

Sekali lagi, Kabir Khan mengharumkan nama negara dan mengangkat bendera Malaysia di mata dunia.

Beliau turut menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada 2013 kerana menjadi ahli silap mata Malaysia yang pertama dijemput mengadakan persembahan di Hollywood dan London.

Pada tahun berikutnya, beliau dianugerahkan Brand Laureate Grand Master Leadership Award dan menjadi naib juara dalam pertunjukan silap mata di Academy of Magical Arts Summer 2014 Magic Castle di Hollywood.

Institusi utama dalam seni persembahan silap mata, McBride Magic and Mystery School di Las Vegas yang menyaksikan perkembangan reputasinya, telah mengiktiraf beliau sebagai satu daripada ahli silap mata terbaik di dunia.

"Saya berikrar akan terus meletakkan Malaysia di peta dunia dan membantu golongan muda yang ingin menggegarkan dunia. Saya berharap agar kisah saya menjadi inspirasi kepada orang lain untuk menjadi hebat dalam apa jua bidang," katanya.

Kabir Khan, silap mata

Artikel Lain