suria

PDRM Akan Terus Pertahan Kerajaan Dipilih Secara Sah - KPN

Khalid Abu Bakar.

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempertahankan kepimpinan kerajaan yang sedia ada pada hari ini kerana ia dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, PDRM sebagai tiang yang mempertahankan kestabilan negara tidak boleh goyah dan mudah dimanipulasi kerana ketika ini terdapat ancaman yang mampu menggugat kestabilan negara melalui penyebaran maklumat tidak tepat di laman sosial.

"PDRM akan kekal menghormati kerajaan yang telah dipilih mengikut kehendak rakyat hari ini, kami akan menghormati pilihan rakyat dan bersama-sama memastikan kerajaan yang dilantik mengikut perlembagaan diletak di tempat yang sepatutnya.

"Adalah menjadi tanggungjawab polis dalam memastikan kerajaan yang dipilih rakyat ini kekal memerintah negara dan perdana menteri yang dipilih perlu diberi penghormatan yang sepatutnya," katanya semasa berucap pada Majlis Mesra sempena Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara di Kontijen Polis Pulau Pinang, di sini, malam Sabtu.

Beliau berkata, PDRM juga akan menyokong polisi dan dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri yang dilantik serta akan terus setia kepada Yang di-Pertuan Agong dalam mempertahankan keharmonian negara.

Khalid berkata, PDRM merupakan satu daripada tonggak kerajaan dan negara akan pincang jika pihaknya tidak menjunjung apa jua yang diperuntukkan dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kami tidak akan sekali-kali benarkan negara kita dalam keadaan pincang ...PDRM adalah tonggak utama negara dan kami sentiasa mematuhi apa jua yang telah diperintahkan oleh undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata, PDRM juga tidak menghalang sesiapa sahaja yang mahukan pertukaran kerajaan tetapi perlu mengikut perlembagaan dan cara yang betul. - Bernama

Artikel Lain