suria

Selepas Sedekad, Bekas Banduan Syukur Dapat Rasai Air Tangan Ibu Di Aidilfitri

Memakai Baju Melayu baharu warna merah yang dibeli ibu merupakan antara kenangan manis Aidilfitri buat bekas banduan yang mendapat pengampunan Sultan Johor. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Aidilfitri kali ini istimewa dan bermakna buat seorang bekas banduan apabila akhirnya berpeluang merasai air tangan ibunya pada hari raya pertama selepas lebih sedekad meringkuk dalam penjara kerana kesalahan membunuh pada 2004.

Pemuda berusia 27 tahun ini bersyukur kerana selama tempoh pemenjaraan selama 11 tahun, keluarganya tidak jemu-jemu datang melawatnya di penjara setiap 1 Syawal.

"Alhamdulillah, keluarga masih sayangkan saya kerana datang melawat masa raya setiap tahun. Tetapi keluarga tak dibenarkan bawa makanan dari luar kerana perlu mengikut peraturan yang ditetapkan pihak penjara.

"Jadi, selama itulah saya tak berpeluang merasai masakan ibu semasa hari raya. Namun Aidilfitri kali ini, buat pertama kalinya saya dapat merasai masakan istimewa ibu seperti ayam masak merah, kari daging dan sambal goreng Singapura. Saya bersyukur," kata Ismail (bukan nama sebenar) kepada mStar Online.

Ismail adalah banduan tunggal daripada 11 banduan yang mendapat pembebasan, manakala yang lain diringankan hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup, selepas mendapat pengampunan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Mac lalu.

Bagi anak kelahiran Johor Bahru ini, apa yang paling disyukurinya pada Aidilfitri ini ialah dia dapat meraikannya bersama keluarga yang selama ini sentiasa memberi sokongan dan perhatian kepadanya.

"Walaupun saya tidak sihat pada hari raya tetapi saya masih dapat menyambutnya secara sederhana bersama keluarga. Itu yang paling penting bagi saya.

"InsyaAllah, kalau dah sembuh sepenuhnya nanti, saya akan beraya bersama sanak saudara dan rakan-rakan pula," katanya sambil menambah bahawa memakai baju Melayu baharu merah yang dibeli ibu adalah antara kenangan manisnya pada hari lebaran ini.

Ketika ditahan kerana terbabit kes bunuh kira-kira 11 tahun lalu, Ismail masih berstatus juvana dan direman sehingga 2010 sebelum dijatuhkan hukuman di atas kesalahan itu.

Anak keempat daripada tujuh beradik ini dikenakan tahanan limpah sultan (detention under pleasure of ruler) di mana dia ditahan sehingga menunggu pengampunan.

Ismail berhadapan hukuman ini kerana ketika melakukan kesalahan, dia berumur kurang 18 tahun dan tidak boleh dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, kakak sulung Ismail yang hanya mahu dikenali sebagai Zila, 31, berkata, keterujaan adiknya untuk menyambut Syawal dapat dilihat apabila sama-sama membantu membuat persiapan untuk menyambut hari raya.

"Dia (Ismail) dari dulu lagi memang suka mengemas rumah. Jadi, raya kali ini dia yang bersungguh-sungguh untuk mengemas," katanya yang menetap bersama Ismail dan keluarga di Johor Bahru.

Menurut Zila, keluarganya merancang untuk mengunjungi rumah sanak-saudara sebelah ibunya di Singapura sempena Aidilfitri.

"Kami ada beraya bersama keluarga dan sanak-saudara sebelah ayah di Johor Bahru. Tetapi keadaan adik (Ismail) yang masih tidak sihat membuatkan kami terpaksa menangguhkan dahulu perancangan untuk ke Singapura. 

"InsyaAllah, kami akan melawat mereka yang lain bila dia sembuh," kata Zila mewakili keluarganya yang berterima kasih kepada Sultan Johor kerana memberi pengampunan, sekali gus membebaskan adiknya.

Artikel Sebelum

Musibah Uji Kesabaran Jemaah

Artikel Berikut

Artikel Lain