suria

Pawagam Mainkan Lagu Negaraku Sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Semua pawagam di seluruh negara akan sekali lagi memainkan lagu kebangsaan Negaraku sebelum tayangan sesuatu filem sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata inisiatif yang diperkenalkan pada 2013 itu, mendapat maklum balas positif daripada pengunjung dan pengusaha pawagam serta dilihat membantu memupuk semangat cintakan negara terutama di kalangan generasi muda.

"Insya-Allah, langkah itu akan diteruskan dan dimasukkan di dalam program kemerdekaan tahun ini oleh sekretariat merdeka," katanya.

Pada 16 Ogos 2013, Ahmad Shabery mencadangkan supaya lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem di pawagam seluruh negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Khas Bulan Kebangsaan Subaidah Md Top berkata program berkenaan akan bermula pada 28 Ogos sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept.

"Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) akan membekalkan klip video lagu Negaraku kepada pawagam di seluruh negara untuk dimainkan sepanjang tempoh itu," katanya sambil menambah kata jumlah pawagam yang terlibat belum dimuktamadkan.

Program itu dijadualkan dilancarkan pada 28 Ogos di Pawagam GSC, Pavilion oleh Ahmad Shabery, katanya.

Pawagam

Artikel Sebelum

Artikel Lain