suria

Mat Sabu Bebas Tuduhan Isu Komunis Bukit Kepong

BUTTERWORTH: Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada Rabu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua  pertuduhan berhubung isu komunis Bukit Kepong pada Ogos 2011.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 60, di akhir kes pendakwaan.

Sebaik selesai mendengar keputusan itu kira-kira 30 penyokong yang mengiringi Mat Sabu melaungkan takbir.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini pada 21 Ogos 2011.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mat Sabu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berterima kasih kepada peguamnya Mohamed Hanipa Maidin.

"Dengan keputusan tadi, hakim telah membebaskan saya daripada tuduhan memfitnah berhubung isu Bukit Kepong," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani.

Mat Sabu, Komunis

Artikel Lain