suria

Artikel WSJ: Najib Mahu Dapatkan Pendirian Dow Jones

Datuk Seri Najib Tun Razak
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penerbit The Wall Street Journal menyatakan pendiriannya terhadap dua artikel berkaitan dakwaan pemindahan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Dalam surat bertarikh 8 Julai kepada Dow Jones and Company Inc, firma undang-undang Perdana Menteri, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, berkata pihaknya mahu  "mendapatkan pendirian anda" kerana artikel tersebut secara kolektif "mencadangkan bahawa anda tidak pasti sumber asal wang tersebut dan apa yang berlaku kepada wang itu" sementara di sisi lain, intipati umum artikel itu mewujudkan gambaran jelas bahawa pelanggan kami telah menyalahgunakan wang AS$700 juta milik 1MDB."

"Tuduhan yang dibuat terhadap pelanggan kami dalam artikel tersebut adalah serius dan pengesahan ini bertujuan untuk membolehkan kami memberikan nasihat kepada pelanggan kami tentang tindakan undang-undang yang sesuai yang boleh diambil untuk mendapatkan pembelaan berhubung artikel itu," kata surat itu yang ditandatangani Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Surat itu menyebut, artikel yang ditulis oleh Simon Clark dan Tom Wright, bertajuk "Malaysian leader's accounts probed" and "Scandal in Malaysia" membawa "begitu banyak hujah berbelit, keji dan tidak jelas tuduhan terhadap pelanggan kami."

"Kami menuntut jawapan dalam tempoh 14 hari dan sila beritahu kami sama ada anda telah melantik peguam cara di Malaysia untuk menerima prosiding tindakan undang-undang," katanya.

Surat itu untuk perhatian David Pitofsky, Peguam Negara, dan dialamatkan kepada Lembaga Pengarah, Dow Jones and Company Inc, Avenue of the Americas di New York.

Artikel Lain