suria

Polis Tahan Buruh Binaan, Rampas Dadah

MELAKA: Polis menahan seorang buruh binaan dan merampas pelbagai dadah bernilai RM190,000 dalam serbuan di sebuah apartment di Batang Tiga, Klebang di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata hasil pemeriksaan di apartment itu, polis menjumpai dua beg dan satu kotak mengandungi 21 paket disyaki heroin seberat 9.33 kilogram; 15 paket disyaki syabu seberat 200 gram; dan 500 pil disyaki erimin 5.

"Polis turut merampas wang tunai RM9,657 dan sebuah kereta Perodua Myvi disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata dadah tersebut disyaki diambil dari Lembah Klang dan aktiviti pengedaran dilakukan lelaki itu dipercayai sejak enam bulan lepas di sekitar Sungai Udang, Batang Tiga dan Krubong di sini.

Katanya serbuan dan tangkapan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dibuat hasil maklumat orang awam dan risikan selama tiga minggu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Melaka.

Chuah berkata lelaki itu mempunyai empat kesalahan lampau melibatkan curi, rompakan berkumpulan, rompakan bersenjata dan gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan rampasan dadah ini merupakan yang terbesar pada tahun ini di Melaka," katanya.

Buruh, Dadah, Polis

Artikel Berikut

Artikel Lain