suria

Lelaki Iran Maut Dibelasah

GEORGE TOWN: Seorang lelaki rakyat Iran maut selepas sehari dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kebun Bunga, di sini.

Asadollah Nabatikar, 52, yang dimasukkan ke HPP pada Rabu lepas kerana cedera parah di kepala dan dada, disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang semalam di Unit Rawatan Rapi Am (GICU) hospital itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki itu ditemui dalam keadaan cedera parah di pondok rehat di kawasan kebun bunga itu oleh orang awam yang kemudian menghubungi ambulans.

"Lelaki itu mulanya dirawat di wad biasa dan dipindah di GICU kira-kira pukul 9.30 pagi semalam selepas keadaannya bertambah teruk," katanya.

Mior Faridalatrash berkata lelaki yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu dipercayai tinggal di negara ini sejak beberapa tahun lepas dan bekerja sendiri.

Asadollah dipercayai disamun dan dipukul sekumpulan lelaki di kawasan kebun bunga berkenaan pada Rabu dan hasil siasatan polis menemui kesan tompokan darah mangsa di kawasan itu, katanya.

Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dan pada masa sama meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Iran, Bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Lain