suria

Pindaan Kanun Keseksaan Dijangka Dibentang Pada Sesi Parlimen Akan Datang

Nancy Shukri
KUALA LUMPUR: Draf pindaan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluaskan definisi rogol kini di peringkat akhir dan dijangka  dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, Pejabat Peguam Negara memaklumkan draf hampir siap dan proses keterlibatan kerja dengan pihak luar serta berkepentingan masih dilakukan.

"Kita berharap semua pindaan undang-undang berhubung kait jenayah rogol itu dapat disiapkan secepat mungkin, seterusnya dapat dibentangkan di Parlimen," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pada era teknologi kini banyak objek boleh digunakan untuk dimasukkan ke dalam vagina (kemaluan), sambil merujuk kepada kes seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun yang dibebaskan daripada tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Mahkamah Rayuan Kuching pada 7 Mei lalu, membebaskan tertuduh kerana lelaki itu hanya memasukkan jarinya yang dicalit air mani ke dalam faraj mangsa dan bukan melalui penetrasi zakar.

Sehubungan itu, Nancy berkata kerajaan memutuskan untuk meminda seksyen tersebut bagi memperluaskan definisi rogol dengan mengambil kira perbuatan memasukkan objek atau organ-organ lain selain kemaluan.

Beliau terdahulu melawat Pameran Seni Seramik anjuran Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Publika, Hartamas Height di sini.

Artikel Lain