suria

Lelaki Maut Ditetak Depan Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Sri Kota, Brickfields di sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian 5.45 pagi itu, mangsa Loganeswaran Prancing, 25, ditetak bertubi-tubi oleh penyerangnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata sebelum kejadian, mangsa dilaporkan terjatuh selepas motosikal yang dinaikinya terbabas lalu melanggar sebatang tiang lampu.

"Saksi yang melihat kejadian itu bergegas ke arah lelaki tersebut untuk membantu tetapi terkejut apabila mendapati sebilah parang terletak dalam raga motosikal mangsa.

"Tidak lama selepas itu, dua motosikal yang dinaiki tiga lelaki tiba di situ dan mengarahkan saksi untuk beredar lalu menyerang mangsa," katanya ketika dihubungi.

Sharul berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa mati akibat tetakan bertubi-tubi di kiri kepala, hidung, pipi kiri, tangan kanan dan tangan serta jari kiri," katanya.

Tetak, Polis

Artikel Lain