suria

Jumlah Kutipan GST Diketahui Pada Ogos Atau September - KP Kastam

KOTA KINABALU: Syarikat dan peniaga dengan perolehan RM5 juta ke atas yang diwajibkan mendaftar di bawah sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih dalam proses mengemukakan penyata GST masing-masing kepada pihak kastam.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata mereka diperlukan mengemukakan penyata mulai Mei dan setakat ini lebih 80 peratus telah berbuat demikian.

Mulai 1 Julai pula kumpulan peniaga yang berpendapatan kurang daripada RM5 juta setahun yang jumlahnya kira-kira 300,000 mula mengemukakan penyata GST masing-masing kepada Kastam.

Tempoh yang diberi akan membolehkan jumlah nilai kutipan GST sejak dikuatkuasakan 1 April lalu diketahui pada Ogos atau September, kata Khazali.Kastam berhak mengikut undang-undang mengeluarkan notis taksiran secara automatik kepada peniaga yang gagal mengemukakan penyata GST mereka, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada Rabu malam.

Mengenai tempoh penggunaan bil-bil tulisan tangan oleh peniaga, Khazali berkata penggunaan bil seperti itu cuma dibenarkan sehingga September dan Kastam tidak akan melanjutkan tempohnya kerana ia satu daripada punca keraguan orang ramai dalam urusan jual beli.

Kastam, GST

Artikel Sebelum

Artikel Lain