suria

TNB Kelantan Tambah Kapasiti Tenaga Sempena Aidilfitri

PASIR PUTEH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan akan menambah kapasiti penjanaan elektrik daripada 600 kepada 629 megawatt di negeri ini bagi menjamin bekalan mencukupi semasa sambutan Aidilfitri nanti.

Pengurus Besar TNB Kelantan Ir Md Yuslan Md Yusof berkata penambahan itu berasaskan peningkatan penggunaan elektrik berikutan ratusan ribu perantau  pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Mengikut pengalaman TNB pada musim Aidilfitri yang lepas, jumlah berkenaan  sudah mencukupi," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah kepada penduduk miskin dan berbuka puasa di Kampung Banir Belikong di sini, Rabu malam.

Majlis tersebut dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali.

TNB membelanjakan sebanyak RM50,000 untuk membina rumah kediaman itu yang dimulakan sejak April lepas bagi kediaman pasangan suami isteri Che Isa Che Daud, 44, dan Maskah Awang, 36, di bawah projek Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku).

Che Isa yang bekerja sebagai buruh berkata keluarganya amat bersyukur menerima bantuan sebuah rumah secara percuma yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air itu.

"Alhamdulillah, selesa bagi saya, isteri dan tiga anak kami yang berusia 3 hingga 9 tahun ini," katanya.

Isterinya Maskah berkata sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi  mereka sekeluarga kerana dapat tinggal di rumah baharu selepas tinggal selama kira-kira setahun di sebuah rumah buruk yang dibuat daripada buluh.

TNB, Kelantan

Artikel Lain