suria

Hishammuddin Nafi Luluskan Nombor Plat 'Patriot'

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan terlibat dalam meluluskan pemberian hak eksklusif jualan nombor pendaftaran kenderaan ‘Patriot’ kepada Yayasan Patriot Negara (YPN).

Beliau yang juga bekas pemangku Menteri Pengangkutan berkata, beliau bimbang sekiranya isu nombor plat 'Patriot' sengaja dimainkan bertujuan untuk melaga-lagakannya dengan menteri semasa, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Saya tak tahu menahu tentang (plat) Patriot. Tapi mungkin ada usaha nak melaga-lagakan saya dengan Menteri Pengangkutan sekarang.

"Saya tak bimbang, tak ada benda nak sembunyikan dalam perkara ini. Ini sesuatu yang tak bertanggungjawab. Saya tak ingat Patriot diluluskan semasa saya (memangku jawatan Menteri Pengangkutan)," katanya kepada pemberita di Menara Dato' Onn di sini, Khamis.

Selain itu Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengalu-alukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sama ada isu plat 'Patriot' mengandungi unsur salah guna kuasa dan rasuah.

"Saya harap SPRM boleh buat siasatan kalau ada salah guna kuasa atau ada penyelewengan. Tapi semak siapa yang sebenarnya luluskan Patriot.

"Setahu saya tak ada, saya tak ingat apa-apa. Jangan ambil kesempatan nak laga-lagakan saya dengan menteri sekarang," katanya.

Sebelum ini pembangkang mendesak Kementerian Pengangkutan menghentikan serta-merta penjualan plat 'Patriot'.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang juga ahli Parlimen Pantai Remis mendakwa, secara terang-terangan ia menunjukkan kementerian itu melakukan penyalahgunaan kuasa, kerana memindahkan wang rakyat kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak begitu terkenal seperti YPN.

YPN sendiri sebelum ini dilaporkan menafikan wujud sebarang penyelewengan dalam mendapatkan permohonan siri nombor plat eksklusif 'Patriot'.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa YPN telah menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua tahun lalu dan bukannya hanya baru-baru ini.

Artikel Lain