suria

Dua Lelaki Didakwa Sebabkan Kematian Warga Syria

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga Syria, bulan lepas.

Mohd Nasir Mohd Salim@Halim, 32, seorang penyelia asrama dan Shahibul Iqmal Khairol, 19, seorang penganggur, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak terhadap mereka di hadapan hakim Azman Ahmad.

Mohd Nasir dan Shahibul Iqmal didakwa bersama-sama dengan lapan orang lagi yang masih bebas menyebabkan kematian Alkhunaini Naif Abdullah, 30, di kaki lima kedai Main Room, Jalan Doraisamy, Dang Wangi di sini, pada pukul 5 pagi, 16 Jun lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis pada minggu pertama setiap bulan dan tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff manakala Mohd Nasir diwakili peguam Idris Seydalavi dan Shahibul Iqmal diwakili peguam Fahmi Adilah.

Pihak media sebelum ini melaporkan lelaki warga Syria itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah kereta Toyota Camry yang diletakkan kira-kira 200 meter dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Syria, Kematian, Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Lain