suria

Mahathir Sindir MAI Mahu Meliberalisasikan Industri Automotif Negara

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengeluarkan sindiran keras terhadap gesaan Institut Automotif Malaysia (MAI) untuk meliberalisasikan industri automotif di negara ini.

"Adalah lebih baik untuk pekerja industri automotif kehilangan pekerjaan mereka supaya pengguna boleh membeli kereta import pada harga lebih murah," katanya sinis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan sebuah akhbar bisnes yang memetik MAI mengenai usaha untuk meliberalisasikan industri tersebut dengan mendakwa ia akan memberi manfaat kepada pengguna dan membolehkan pemain industri tempatan meneroka pasaran eksport.

Menurut Dr Mahathir yang juga pengerusi Proton, sekiranya pembuat kereta nasional gagal menyaingi persaingnya, ia perlu ditutup.

"Ada kira-kira ratusan ribu pekerja, jurutera dan pengurus akan kehilangan kerja mereka. Keluarga mereka akan hidup sengsara.

"Tetapi itu tidak mengapa kerana pengguna akan mendapat kereta lebih baik pada harga rendah dari negara luar," kata Dr Mahathir menerusi entri terbaharunya di blog chetdet.cc.

Jelas Dr Mahathir, jika persaingan berlaku, adalah lebih baik jika industri automotif negara bersaing dengan kereta import buatan syarikat automotif gergasi dunia seperti Jepun, Korea, China dan Jerman.

Beliau berkata, negara-negara itu mengenakan syarat dan standar yang menyekat kereta Malaysia daripada diimport ke negara mereka untuk bersaing.

"Jadi pengguna di Jepun, Jerman, Korea dan China tidak dapat menikmati faedah daripada persaingan seperti rakan-rakan mereka di Malaysia," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggunakan perbandingan dalam sukan untuk menjelaskan mengenai persaingan.

"Ada dikalangan kita mungkin sedar bahawa dalam sukan contohnya, persaingan adalah antara individu dari kategori sama atau mengikut umur atau dalam bola sepak mengikut bahagian.

"Dalam pertandingan golf, handikap diberikan supaya persaingan lebih adil. Ia sentiasa sama dalam semua pertandingan. Kita membandingkan epal dengan epal dan bukannya epal dengan oren," katanya.

Dr Mahathir turut menyindir bahawa segelintir rakyat di Malaysia tidak menyedari bahawa kapasiti industri automotif Malaysia masih belum mampu menyaingi Jepun, Kore, China atau Jerman.

"Kita mungkin menang dalam pertandingan al-Quran tetapi bukan dalam bidang automotif. Kita boleh beraksi cemerlang dalam badminton dan skuasy tetapi tidak dalam bola sepak.

"Namun jika persaingan perlu dilakukan untuk memberi manfaat kepada pengguna, kita akan melakukannya. Lagipun terdapat lebih ramai pengguna daripada orang dalam industri automotif," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan menyokong dasar mengimport kereta luar dan rakyat Malaysia perlu menerimanya.

"Sudah semestinya duit negara akan mengalir keluar kepada negara kaya dan pekerja mereka akan mendapat pendapatan tinggi.

"Oleh itu, marilah kita bersaing dan biarkan pengguna menikmati manfaat tersebut. Mereka yang hilang kerja tidak dapat membeli. Tetapi itu hanya perkara kecil," katanya. 


Dr Mahathir Mohamad, MAI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain