suria

SPAD Rayu Pengusaha Bas Ekspres Beri Kerjasama Aidilfitri Ini

Syed Hamid (kanan) melihat fungsi yang terdapat pada 'Mobile Operation Vehicle' (MoVs) yang baharu dilancarkan di Terminal Bersepadu Selatan, Selasa. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal (kiri) dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad (tengah).

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merayu kepada pengusaha bas ekspres supaya menyediakan perkhidmatan mencukupi bagi melancarkan perjalanan orang ramai balik kampung sempena Aidilfitri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD telah menyediakan 400 permit untuk bas tambahan bagi menampung permintaan orang ramai sepanjang musim perayaan itu.

"Saya faham masalah mereka tapi tolong beri kerjasama dengan kami dan sediakan bas kepada penumpang.

"Kita telah sediakan 400 permit buat masa ini supaya pengguna dapat menggunakan perkhidmatan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran kenderaan operasi mudah alih (MoVS) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, Selasa.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan kadar tambang bagi perkhidmatan bas ekspres, Syed Hamid berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan terkini daripada Kabinet berhubung perkara tersebut.

"Belum ada lagi," jawabnya ringkas.

Beliau berkata, isu kenaikan tambang perkhidmatan awam perlu mendapat kelulusan jemaah menteri terlebih dahulu.

"Menaikkan sesuatu tambang ada prosedur. Kita perlu melalui proses tersebut. Insya-Allah kita akan dapat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Namun, beliau berkata, SPAD akan mengenakan tindakan terhadap pengusaha bas yang mengambil kesempatan menaikkan tambang pada musim perayaan ini.

"Jika didapati bersalah, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," kata Syed Hamid.

Terdahulu, Syed Hamid meninjau dua unit MoVS yang akan ditempatkan di sekitar Lembah Klang bagi membantu SPAD meningkatkan tahap penguatkuasaan operasinya terutama pada musim perayaan.

Katanya, MOV yang berharga RM180,000 seunit itu berperanan sebagai pejabat bergerak yang dilengkapi kemudahan internet, rakaman video kereta dan kamera penglihatan malam.

"Melalui perkhidmatan MOV kita berharap setiap aduan orang ramai dan siasatan dapat dijalankan dengan lebih efisyen sekaligus membantu menangani aktiviti penjualan tiket haram melalui ulat tiket" katanya.

Artikel Lain