suria

Individu Terlibat Penjualan Sijil Anak Negeri Sabah Ditahan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berhubung pengeluaran Sijil Anak Negeri Sabah kepada kumpulan sindiket.

Tiga rakyat Sabah bukan bumiputera yang memegang Sijil Anak Negeri yang dikhaskan untuk rakyat bumiputera Sabah, ditahan di pelbagai lokasi di negeri ini.

Satu sumber yang tahu tentang tindakan keras SPRM berkata, pasukan penyiasat hampir menemui dalang dan puluhan individu lain yang telah memperoleh Sijil Anak Negeri secara tidak sah.

"Beberapa warga asing juga berada dalam senarai penangkapan itu," kata sumber itu sambil menambah bahawa SPRM cuba untuk menilai jumlah keuntungan yang dikaut kumpulan sindiket hasil daripada penjualan sijil penduduk asli secara haram.

Mereka yang ditahan dibebaskan selepas keterangan mereka direkodkan.

Sumber itu berkata siasatan SPRM akan melihat daripada pelbagai sudut.

"Ini termasuk kemungkinan pegawai kerajaan membantu sindiket," kata sumber itu.

Kegiatan haram ini terbongkar apabila seorang individu bukan bumiputera Sabah menggunakan Sijil Anak Negeri untuk membuat tawaran dan memenangi plot tanah seluas 1.61 hektar berharga RM1.7 juta dalam lelongan awam di Tawau.

"Lelaki itu kemudian menjual tanah itu dengan harga yang lebih tinggi," kata sumber itu.

Penyiasat percaya apa yang telah ditemui setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada bilangan itu, kerana mereka yang mempunyai Sijil Anak Negeri boleh meraih ratusan juta ringgit kerana membeli dan menjual tanah, rumah-rumah dan harta lain yang dikhaskan untuk bumiputra Sabah.

Sementara itu sumber lain berkata dalang aktiviti haram berkenaan telah bekerjasama dengan beberapa sindiket untuk mengeluarkan sijil perakuan tersebut di beberapa daerah lain di negeri ini.

"Selain membeli dan menjual tanah dan harta, pemegang sijil-sijil ini boleh melabur dalam dana amanah, menikmati kemudahan seperti pinjaman, biasiswa dan peluang pendidikan di Sabah," kata sumber itu.

Sijil tersebut adalah dokumen yang dikeluarkan oleh mahkamah anak negeri Sabah dan pemegang diberi status bumiputera Sabah.

Sijil Anak Negeri Sabah telah dibekukan sejak 22 April 1982 berikutan terdapatnya kes penyalahgunaan.

Pengeluaran Sijil Anak Negeri Sabah telah dimulakan pada 1960-an oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah bagi membolehkan keturunan Anak Negeri Sabah hasil perkahwinan campur memohon kepada Mahkamah Anak Negeri untuk mendapatkan status Anak Negeri kerana ‘etnik Sino-Kadazan’ dan sebagainya tidak tertakluk di bawah taraf kerakyatan secara automatik yang dinikmati oleh Anak Negeri Sabah disebabkan ‘etnik’ Anak Negeri Sabah tidak disebut secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sijil Anak Negeri Sabah, SPRM

Artikel Lain