suria

Wakil PAS Bukan Dipecat Tapi Tiada Lagi Kerajaan PR P.Pinang - Guan Eng

Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri tersebut.

Lim berkata, adalah tidak wajar untuk beliau mengulas mengenai situasi politik di Selangor dan akan menyerahkan perkara itu kepada Azmin.

"Apabila tiba masa yang sesuai, baharulah saya akan komen. Jika anda bertanya kepada saya mengenai Pulau Pinang, saya akan komen," kata Lim ketika ditanya mengenai pembubaran Pakatan Rakyat akan menjejaskan Selangor pada sidang media di Komtar pada Khamis.

Lim berkata, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi kenyataannya pada Rabu bersetuju secara umum bahawa Pakatan tidak lagi wujud.

"Saya enggan mengulas lanjut. Kita harus berdepan realiti bahawa Muktamar PAS bersetuju menamatkan hubungan dengan DAP, dan ia menyebabkan Pakatan tidak lagi wujud," kata Lim.

Keadaan ini amat kompleks kerana pada Rabu, Dr Wan Azizah menegaskan status quo pembangkang itu masih kekal di Selangor dan Pulau Pinang.

Namun, beliau mengakui Pakatan 'tidak lagi berfungsi secara formal'.

Lim juga berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Salleh Man akan kekal sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

"Dia adalah sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang. Tiada lagi kerajaan 'Pakatan Rakyat' Pulau Pinang.

"Kedudukannya telah disahkan di hadapan semua wakil rakyat dalam satu mesyuarat pada malam Rabu.

"Ia dipersetujui dalam mesyuarat itu bahawa kita menentang usul Muktamar PAS untuk menamatkan hubungan dengan DAP dan kami menyokong mandat bahawa kita dipilih rakyat Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan mandat bersejarah 68%," katanya.


Lim Guan Eng, Pakatan Rakyat

Artikel Lain