suria

Dua Peniaga Didenda Miliki Rokok Seludup Pelbagai Jenama

TELUK INTAN: Dua peniaga lelaki masing-masing didenda  RM6,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan memiliki rokok seludup pelbagai jenama.

Majistret Adibah Abdul Kadir mendenda peniaga kedai runcit Lee Lim Han, 59,  RM6,000 atau enam bulan penjara selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa memiliki barang larangan kastam iaitu rokok pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan RM562.80 di sebuah premis di Jalan Selat di sini, pada 10.20 pagi, 15 November 2011.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang peniaga minuman, Kwa Keat Heng, 52, didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara kerana didakwa memiliki barang larangan iaitu rokok pelbagai jenama.

Dia didakwa memiliki barang larangan import itu dengan jumlah keseluruhan RM262.24 di sebuah motosikal di kawasan tempat letak kereta berhampiran Bangunan Aik Aik, Jalan Ah Cheong di sini, pada 4 petang, 28 Oktober 2014.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda 20 kali ganda nilai barangan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak, S. Morgan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -- Bernama


Artikel Lain