suria

Bantah GST: Tian Chua Ditahan

Tian Chua.

BUTTERWORTH: Naib Presiden PKR Tian Chua ditahan polis di Seberang Jaya di sini, malam Sabtu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Anggota Parlimen Batu itu ditahan pada kira-kira 11.45 malam Sabtu. 

Menerusi akaun Twitternya, Tian Chua menyatakan beliau ditahan ketika memandu di Seberang Jaya selepas menghadiri ceramah anjuran PKR sempena pilihan raya kecil Permatang Pauh di Taman Tun Hussein Onn di sini.

Menurutnya, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda dekat sini, sebelum sepasukan polis membawanya ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Tian Chua namun enggan mengulas lanjut.

Polis pada Sabtu menahan lima lagi individu menjadikan jumlah keseluruhan 35 individu ditahan bagi membantu siasatan berikutan penglibatan mereka dalam perhimpunan Bantah GST, Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, lima yang ditahan itu termasuk Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli, aktivis Hishamuddin Rais dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.

Bantah GST, Tian Chua

Artikel Lain