suria

PRK Pmtg Pauh: 627 Pemilih Undi Awal Hari Ini

BUKIT MERTAJAM: Seramai 627 pemilih terdiri daripada anggota polis serta pasangan mereka akan terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada Ahad.

Dua pusat pengundian mula dibuka pada pukul 8 pagi Ahad dan akan ditutup pada pukul 5 petang.

Pusat mengundi terbabit ialah Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Berek Kelamin, Balai Polis Kubang Semang.

Menurut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi di Berek Kelamin akan ditutup pada 2 petang.

Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

Dakwat pilihan raya akan digunakan bagi proses pengundian dan akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan petugas SPR.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

PRK Permatang Pauh

Artikel Sebelum

Artikel Lain