suria

Surirumah Didenda RM5,000 Kerana Simbah Air Najis Di Kaunter Khidmat Pelanggan

PETALING JAYA: Gara-gara menyimbah air najis di kaunter perkhidmatan pelanggan sebuah kondominium, seorang surirumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhadiela Mustafa, 32, setelah dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyiram air kotoran sehingga menyebabkan kerosakan tiga buah komputer dan pelbagai dokumen penting bernilai RM10,500.

Mahkamah juga memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Muhadiela didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan Blok D, Perdana Exclusive Condo, Damansara Perdana, di sini pada pukul 10.20 pagi, 7 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menghubungi pejabat berkenaan supaya menghantar kakitangan untuk menyelenggara masalah kebocoran air kumbahan yang kerap kali berlaku di rumahnya.

Bagaimanapun sebelum kakitangan pengurusan tiba di rumahnya, tertuduh telah turun ke pejabat perkhidmatan pelanggan lalu menyimbah air najis itu sebanyak dua kali iaitu di hadapan kaunter dan kepada kakitangan kondominium itu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia melakukan perbuatan itu dalam keadaan marah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan tertuduh sepatutnya berbincang dengan pihak pengurusan sebelum mengambil tindakan sendiri.-- Bernama

 

Artikel Lain