suria

GST: Pasukan Van Bergerak Beri Penerangan, Laksana Penguatkuasaan Di Lokasi Panas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menubuhkan pasukan van bergerak untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai minggu ini.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata pasukan itu juga akan memberi khidmat nasihat berkaitan GST, selain melaksanakan penguatkuasaan serta merta terhadap laporan dan aduan yang dibuat orang ramai.

"Van-van ini akan bergerak ke kawasan panas seperti pasar dan pasar raya agar penerangan dapat dibuat kepada orang awam dengan lebih mudah di sana," katanya dalam sidang media bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T. Subromaniam, di sini, Isnin.

Katanya, van dari enam agensi di bawah kementerian berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan tugas terbabit.

Dalam pada itu, Subromaniam menasihatkan masyarakat agar tidak terus mempercayai sebarang maklumat palsu di media sosial berkenaan GST yang mula dikuat kuasakan pada 1 April lalu.

Beliau berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang terlalu "kreatif" untuk menyebarkan maklumat yang salah di media sosial yang menyebabkan salah faham dalam kalangan rakyat mengenai pelaksanaan GST.

"Ada yang bertanya kepada saya mengenai satu viral di media sosial mengatakan caj GST telah dikenakan terhadap pengeluaran Amanah Saham Bumiputera (ASB)...ini tak betul, jual beli saham tidak dikenakan GST, yang dikenakan adalah GST ke atas caj perkhidmatan," katanya.

"Jadi kita harap rakyat Malaysia tidak terus percaya maklumat di media sosial media tanpa menyiasat terlebih dahulu dan mereka juga boleh menghubungi pihak kastam dan KPDNKK untuk mendapatkan maklumat sebenar," katanya.-- Bernama



GST, KPDNKK, Alias Ahmad

Artikel Lain