suria

PRK Permatang Pauh: Semua Jentera PAS Diarah Bantu Kempen PKR

Arahan dikeluarkan supaya jentera PAS membantu kempen PKR di Permatang Pauh. Gambar Hiasan.

PETALING JAYA: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Sabtu ini, PAS Pusat mengeluarkan arahan supaya semua jenteranya membantu kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan itu.

Arahan itu sekaligus menolak pendirian ahli akar umbinya yang mahu memboikot kempen PKR di Permatang Pauh sehingga sekutu PAS itu menarik balik kenyataan yang tidak menyokong pelaksanaan hudud.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam kenyataanya pada Isnin berkata, PAS Pusat menerusi mesyuarat pada 13 April lalu membuat keputusan supaya PAS Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak membantu Pakatan Rakyat di PRK Permatang Pauh nanti.

"Sebagai Timbalan Presiden dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, saya menegaskan tiada arahan baharu yang dikeluarkan oleh PAS Pusat.

"Oleh itu, semua jentera pilihanraya dari negeri-negeri tersebut hendaklah membantu Pakatan Rakyat di Permatang Pauh,” katanya.

Pada Ahad, Mesyuarat Agung PAS Kawasan Permatang Pauh kali ke-38 menetapkan pendirian hanya akan membantu PKR di kawasan itu sekiranya syarat mereka dipenuhi.

Malah sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat yang sama untuk memboikot kempen PRK Permatang Pauh sekiranya Angkatan Muda Keadilan menarik balik kenyataan penghinaan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


PRK, Permatang Pauh, PRK, PAS, Mohamad Sabu

Artikel Lain