suria

Lima Faktor Belia Terpengaruh Gejala Ekstremisme - KJ

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggariskan lima faktor utama penyebab kecenderungan anak muda terpengaruh dengan gejala ekstremisme.

Katanya, penularan ideologi ekstremis semakin mempengaruhi golongan belia, malah kementerian melihat perkara itu dengan serius dan ia perlu ditangani segera.

Faktor pertama yang digariskan Khairy adalah generasi muda kurang diberikan platform untuk melontarkan pendapat, lebih-lebih lagi untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan dasar negara.

Katanya, ekoran golongan belia merasai mereka disisihkan, kehadiran media sosial dengan aliran maklumat yang lebih pantas dan terbuka sekali gus mendorong anak muda untuk menyimpulkan pendapat dan menyuarakannya melalui Internet.

"Kekurangan platform sebegini menyebabkan anak muda resah dan rasa tidak berguna, apa yang disuarakan tidak dilaksanakan. Akhirnya, jalan mudah tetapi drastik yang diambil bagi mencernakan apa yang diinginkan adalah mengikuti kumpulan ekstremis," katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Himpunan Belia Menangani Gejala Ekstremisme di sini, Sabtu.

Faktor kedua adalah sosioekonomi di mana kegagalan mendapat kerja dan gaji rendah untuk menanggung perbelanjaan bulanan menjadikan anak muda kurang bersemangat dalam memberi fokus jangka pendek dan panjang kepada kerjaya mereka.

Khairy berkata, walaupun kadar penggangguran di Malaysia secara keseluruhan adalah tiga peratus, kadar penggangguran dalam kalangan anak muda adalah setinggi 10 peratus.

"Satu daripada empat lepasan universitit gagal mendapat kerja selepas tamat pengajian dan satu saripada lima belia bawah 25 tahun sudah ada segulung ijazah masih lagi gagal mendapat kerja selepas enam bulan.

"Kesempitan ini mendorong anak muda untuk mengaku kalah dengan ranjau kehidupan di dunia dan menyertai kumpulan (seperti) IS dengan harapan mati syahid, terjagalah mereka di akhirat kelak," katanya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menerangkan faktor ketiga penyebab anak muda terpengaruh dengan ideologi ekstremis adalah keinginan mereka untuk mengubah dunia.

Faktor keempat adalah emosi 'kesunyian' memberi impak yang kuat kepada golongan belia untuk terpengaruh dengan ideologi ekstremis.

Menurut Khairy, hasil kajian Yayasan Kesihatan Mental membuktikan kesunyian memberi impak yang lebih serius kepada anak muda bawah 34 tahun untuk mudah terpengaruh.

"Anak muda yang sunyi terasa ingin ada kekeluargaan. Mereka inginkan kawan.

Ketiadaan rakan-rakan rapat ini mengundang kesunyian yang membelungi perasaan sehingga mereka boleh berfikir, apa salahnya sertai kumpulan (seperti) IS jika ia dapat mengisi kekosongan masa dan jiwa," tambah beliau.

Faktor terakhir adalah persepsi ketidakadilan dunia yang menyebabkan golongan belia bertindak mengambil langkah memperbetul dan menegakkan keadilan secara sendirian.

"Persepsi ini ada justifikasinya, daripada penindasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin, ketidakadilan terhadap rakyat Rohingya...mengikis kredibiliti ahli politik dan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

"Bila sedikit demi sedikit terkikis, kemusykilan bertukar kepada ketidakpercayaan, bertukar menjadi keganasan dan anak muda mula mengambil langkah untuk cuba membetulkannya sendiri," katanya.

Khairy berkata, bersadarkan lima faktor ini, kerajaan perlu menghadapinya satu-persatu dengan penyelesaian spesifik tanpa mengambil jalan pintas dan mudah.

"Tiada satu penyelesaian yang mudah untuk semua permasalahan, pelan penyelesaian yang komprehensif hanya dapat direncana jika satu persatu faktor ini dikaji dan diatasi," katanya. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain