suria

Malaysia Berusaha Bawa Keluar 879 Rakyatnya Dari Yaman - Anifah

Datuk Seri Anifah Aman
KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia masih berusaha membawa 879 rakyatnya keluar dari negara Yaman secepat mungkin, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata pada masa ini pihak Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Yaman untuk mencari pendekatan terbaik membawa rakyat Malaysia keluar dari negara itu sama ada melalui udara ataupun darat.

"Setakat ini majoriti rakyat Malaysia (di Yaman) adalah pelajar dan berada di empat wilayah. Di Sana'a ada 159 orang, Al-Hudaydah (45) Aden (75) dan Hadhramaut (600). Semua mereka kami dapat hubungi dan mereka semua selamat.

"...usaha akan diteruskan secepat mungkin agar kami dapat membawa mereka keluar dari Yaman. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya (di Yaman).
Jadi tumpuan kami ialah cara untuk membawa keluar rakyat Malaysia dengan selamat," katanya.

Anifah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat lantikan dan Indeks Pencapaian Utama (KPI) kepada lima Ketua Perwakilan Malaysia yang akan menjalankan tugas sebagai Ketua Perwakilan, di sini Selasa.

Antara penerima surat lantikan berkenaan ialah Datuk Ramlan Ibrahim sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) New York, Datuk Zulkifli Adnan (Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Republik Jerman, Datuk Adnan Othman (Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Vienna), Ahmad Rozian Abd Ghani (Duta Besar Malaysia ke Kuwait dan Mohamad Nizam Mohamad (Duta Besar Malaysia ke Korea Utara).

Anifah berkata daripada 879 rakyat Malaysia di Yaman itu, 264 orang sudah mendaftar dengan pihak kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Menurutnya pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah berada di Arab Saudi untuk mengkoordinasi dan mencari jalan terbaik membawa rakyat Malaysia keluar dari negara berkenaan dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Anifah menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak berkunjung ke negara Yaman buat sementara waktu sehingga diberitahu kemudian.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara tertentu supaya mendaftar dengan kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Rakyat Malaysia di luar negara digalakkan mendaftar dengan pejabat kedutaan Malaysia di negara di mana mereka berada dan semua rakyat Malaysia seharusnya sudah mengetahui nombor telefon kedutaan Malaysia untuk dihubungi apabila perlu, katanya.

Yaman, Datuk Seri Anifah Aman, MKN

Artikel Lain