suria

PPS: Tunggu Keputusan Mahkamah Dahulu - Guan Eng

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menunggu keputusan mahkamah berhubung isu pengharaman Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung masa depan pasukan itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata buat masa ini, kerajaan negeri telah mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram di mahkamah kerana merasakan ia suatu tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata KDN menawarkan PPS Pulau Pinang diletakkan di bawah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai sebahagian pasukan pencegahan jenayah di negeri ini.
 
Ahmad Zahid berkata pihaknya sudah menawarkan perkara itu kepada Guan Eng namun sehingga kini kerajaan negeri pimpinan DAP itu belum mengeluarkan maklum balas rasmi berhubung cadangan berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat, Guan Eng berkata sebarang penyelesaian yang ditawarkan oleh KDN berhubung pasukan itu perlu dibuat secara bertulis.

"Saya sedikit terkejut kerana sebelum ini beliau cadangkan komuniti polis dan sekarang ini sebut pasal Rela tapi tak ada sebarang cadangan secara bertulis.

"Sekiranya hendak sesuatu penyelesaian, saya rasa ia (perlu) dibuat secara bertulis...apapun kita tunggu keputusan mahkamah," katanya.

Pada 27 Januari lepas, kerajaan DAP Pulau Pinang memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan perintah KDN yang mengisytiharkan PPS negeri ini sebagai sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden dan antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 November 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.
PPS, KDN, pertubuhan haram, Lim Guan Eng, Rela

Artikel Berikut

Artikel Lain