suria

Lelaki Tempatan Ditahan, Polis Rampas Ganja Bernilai RM94,000

-foto THE STAR
KUALA LUMPUR: Seorang penjual alat ganti kenderaan yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak empat bulan lepas, ditahan di Jalan Padang Balang, Setapak di sini pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata polis turut  merampas dadah dengan nilai pasaran berjumlah RM94,000.

Beliau berkata suspek yang merupakan warga tempatan ditahan ketika sedang menunggang motosikal dan berdasarkan siasatan, polis menemui tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1,015 gram.

Susulan itu, beliau berkata polis membuat serbuan ke rumah suspek yang berusia 41 tahun itu dan menemui kira-kira 30 kilogram lagi dadah jenis ganja.

"Suspek dikenal pasti mempunyai dua rekod kesalahan lampau (tidak berkaitan  dadah) dan ujian air kencing juga mendapati dia negatif ujian terbabit (dadah)," katanya.

Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Artikel Lain