suria

Bukan Kenderaan ATM Digunakan Pada Perhimpunan #KitaLawan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kenderaannya digunakan untuk mengangkut peserta perhimpunan #KitaLawan di ibu kota, pada Sabtu.

Kenyataan ATM malam Sabtu menyatakan ia tidak terbabit dalam aktiviti itu seperti yang tersebar di Twitter, Facebook dan WhatsApp.

"Kenderaan itu dikenal pasti milik sebuah syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan Feri Sekolah untuk anak-anak warga ATM dari kuarters ATM ke sekolah-sekolah di kawasan Kuala Lumpur setiap hari persekolahan sahaja," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, ATM telah menghubungi syarikat terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu dan syarikat berkenaan mengesahkan ia telah disewa oleh pengguna awam, dan bukan di bawah kawalan ATM.

Petang Sabtu, penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak di sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS di ibu kota sebelum bertemu di kompleks beli-belah Sogo.

Perhimpunan itu bagi melahirkan sokongan kepada Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara akibat kesalahan meliwat.

Sementara itu, polis menahan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya di Masjid Jamek di sini pada kira-kira 7 petang Sabtu kerana cuba menimbulkan provokasi selepas perhimpunan itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah dalam kenyataan di sini berkata lelaki berusia 29 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu ketika dihubungi malam Sabtu.

#KitaLawan, ATM

Artikel Sebelum

Nik Nazmi Ditahan Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain