suria

SPR Terima 41 Bantahan Terhadap Kajian Semula Persempadanan Di Sarawak

Abdul Aziz Mohd Yusof.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 41 bantahan yang memenuhi syarat bagi tujuan Siasatan Tempatan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR yang selesai menjalankan sesi siasatan itu, pada Jumaat, menerima 64 representasi bantahan sepanjang siasatan yang berlangsung selama dua minggu di 10 tempat Siasatan Tempatan seluruh negeri Sarawak.

Bantahan-bantahan yang diterima adalah daripada kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekumpulan orang seramai 100 orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.

"SPR amat berpuas hati dengan setiap representasi bantahan dan penjelasan yang dikemukakan oleh semua pihak pembantah semasa pendengaran diadakan," kata beliau dalam kenyataan di sini Jumaat.

Abdul Aziz berkata SPR akan meneliti setiap representasi bantahan tersebut yang dikemukakan secara bertulis dan secara lisan, dan setiap bantahan yang diterima akan dipertimbangkan secara adil.

"Keputusan-keputusan Siasatan Tempatan ini akan diumumkan semasa sesi pameran dan bantahan kali kedua yang akan dimaklumkan nanti menerusi notis yang akan disiarkan di akhbar tempatan dan laman portal rasmi SPR," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan turut serta dalam sesi Siasatan Tempatan yang dijalankan.

SPR, Sarawak

Artikel Lain