suria

Himpunan 7 Mac Tidak Sah Kerana Mungkin Ada Unsur Hasutan - Polis

KUALA LUMPUR: Himpunan yang diadakan pada 7 Mac ini bagi membantah penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah kerana ia kemungkinan mengandungi ucapan yang boleh melanggar Akta Hasutan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau menambah, sesiapa yang berhimpun dengan tujuan untuk mengugut kerajaan atau mana-mana individu boleh juga melanggar undang-undang Seksyen 141, 142 dan 143 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan yang tidak dibenarkan.

"Terdapat dua jenis himpunan, satu yang aman dan satu lagi tidak.

"Jika mereka berhimpun dengan tujuan untuk mengugut kerajaan atau sesiapa berhubung perkara itu, maka perhimpunan itu diisytihar haram.

"Kita tidak mempunyai masalah untuk memberi ruang kepada penunjuk perasaan sekiranya mereka mahu berhimpun secara aman di sesebuah tempat untuk menyuarakan pandangan dan perhatian mereka. Tetapi semuanya ada batasan," katanya.

Pada Rabu dilaporkan bahawa polis telah mengisytiharkan perhimpunan itu adalah tidak sah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihak berkuasa gagal mencapai kata putus dengan pihak penganjur ketika pertemuan pada Rabu.

Beliau berkata, penganjur yang diwakili Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad tidak mengikut prosedur yang sah untuk memohon permit mengadakan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada Sabtu ini.

“Mereka tidak mengemukakan notis 10 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan mereka juga menolak cadangan kami supaya perhimpunan tersebut diadakan di stadium," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain