suria

Henti Tanam Rasa Takut Dalam Masyarakat

Pengarah Urusan Kumpulan Star Publications (M) Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Wong Chun Wai menyampaikan ucapan aluan pada forum "Kesederhanaan Untuk Negara'.

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak seharusnya menimbulkan rasa takut antara satu sama lain, kata bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin.

Beliau berkata kebangkitan kumpulan agama dan perkauman telah mengikis keyakinan rakyat.

"Terdapat kumpulan tertentu yang memperbodohkan Melayu supaya mempercayai bahawa orang bukan Melayu adalah ancaman. Namun ia jelas sekali tidak logik.

"Malah kita juga melihat semangat yang luar biasa di kalangan pihak berkuasa agama dalam kes-kes seperti hak penjagaan anak bagi ibu atau bapa yang menukar agama, fatwa terhadap yoga, isu kalimah Allah dan pelaksanaan hudud," kata Noor Farida yang juga salah seorang wakil G25.

"Penyelesaiannya ialah kita perlu berhenti mempolitikkan Islam dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang membuat kenyataan bersifat perkauman," kata beliau pada forum 'Kesederhanaan Untuk Negara' di Menara Star pada Sabtu.

Antara ahli panel yang terlibat ialah penerima anugerah Usman Awang, Anas Zubedy, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi Asia dan  Kepimpinan, Tan Sri Dr Michael Yeoh dan kolumnis, Dzof Azmi.

Yeoh mencadangkan supaya diperkenalkan kod etika untuk ahli-ahli politik dan media.

Jelas beliau ia penting untuk 'menjelaskan' apa yang ahli politik perlu lakukan untuk menolak fahaman ekstremisme.

"Pihak media juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan penapisan sendiri dan menghalang suara-suara pelampau," katanya.

Anas menggesa rakyat mengamalkan prinsip kesederhanaan.

"Bersyukurlah dan jujur ​​serta lihatlah semua masalah sebagai peluang. Layan orang lain seperti yang kita harapkan untuk dilayan.

"Terimalah kepelbagaian, tambah nilai kepada interaksi dan hendaklah cepat untuk memaafkan dan melupakan," katanya.

Bagaimanapun Dzof berkata, adalah sukar untuk mengadakan perbincangan secara berterus terang jika masyarakat takut untuk bersuara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain