suria

Kebakaran Bongkar Makmal Dadah di Melaka

MELAKA: Kebakaran sebuah kondominium mewah di Klebang Besar di sini pada pukul 10 malam tadi telah membongkar sebuah makmal dadah yang dipercayai mampu memproses kira-kira 10 kilogram syabu atau ecstacy pada satu-satu masa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Razali Bakar berkata hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui mesin menerap pil, beberapa jenis bahan kimia dan peralatan lain dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah. 
 

"Kita tidak tahu jumlah kekerapan proses ini dibuat, mungkin dua hari sekali, tiga hari sekali atau lebih lama lagi. Kita sedang siasat perkara ini," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.


Beliau bagaimanapun tidak mengulas sama ada pihak polis menemui dadah yang telah siap diproses kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya siasatan awal mendapati kondominium tersebut milik seorang lelaki tempatan tetapi disewakan kepada pihak lain dan pihak polis juga sedang menyiasat penghuni terakhir kondominium itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

makmal dadah, pil ecstasy

Artikel Lain