suria

Peguam Akan Dapat Arahan Lanjut Daripada Keluarga Altantuya

Dr.Shaariibuu Setev

KUALA LUMPUR: Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa, peguam Ramkarpal Singh Deo akan menulis surat kepada bapa Altantuya Shaariibuu bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung saman yang difailkan keluarga wanita itu akibat kematiannya.

Ramkarpal berkata firmanya sedang meneliti penghakiman itu dan mungkin meminda kenyataan tuntutan yang difailkan keluarga berkenaan sebelum ini.

Pada 4 Jun 2014, ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, masing-masing berusia sembilan dan empat tahun, memfailkan saman terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan.

Dalam saman itu, keluarga Altantuya menuntut pampasan RM100 juta.

"Sebaik sahaja menerima jawapan daripada keluarga itu, kami akan failkan permohonan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuat pindaan terhadap afidavit yang diperlukan," katanya kepada Bernama pada Rabu. |

Ramkarpal berkata beliau juga akan menulis surat kepada mahkamah untuk memohon dipercepatkan tarikh bagi pengurusan kes itu. Katanya saman itu difailkan pada 2007, tetapi ditangguhkan prosidingnya sementara menunggu keputusan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

"Oleh kerana perkara berkaitan jenayah itu kini sudah selesai, kami berharap saman ini dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar serta menjatuhi kukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh Altantuya setelah membenarkan pihak pendakwaan merayu mengenai keputusan pembebasan mereka.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka mendakwa Altantuya ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar, anggota Unit Tindakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan cebisan mayat wanita itu kemudian dijumpai di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.  

Mereka juga mendakwa penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, bersubahat dengan dua anggota polis itu dalam pembunuhan Altantuya.   

Kata mereka Azilah dan Sirul Azhar bertindak bercanggah dengan perlembagaan dan menyalahgunakan amanah yang diberi kepada mereka sebagai anggota PDRM dan penjawat awam dalam kerajaan Malaysia.

Keluarga itu mendakwa akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak,mereka mengalami kerugian, terutama dua anak lelaki Altantuya, yang kehilangan kasih sayang ibu dan satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.

Shaariibuu, profesor psikologi dan Altantsetseg, yang tinggal di Bayangol District, 19 horoo, Block 56, Apartment 28, Ulanbaatar, Mongolia, berkata Altantuya dibesarkan di St Petersburg, Rusia dan mendapat pendidikan di Beijing, China.

Altantuya Shaariibuu

Artikel Lain