suria

Jawatan Presiden WAY Pengiktirafan Kepada Malaysia - Idris Haron

SEPANG: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan kejayaannya mengekalkan jawatan Presiden Pertubuhan Belia Sedunia (WAY) di Albania, Rabu lepas sebagai satu pengiktirafan kepada  Malaysia yang memberikan perhatian kepada kumpulan muda dan belia.

Bercakap kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Jumaat, beliau berikrar untuk memastikan suara orang muda di seluruh dunia akan didengar dan diberikan perhatian.

"Saya akan meneruskan perjuangan WAY pada hari ini dengan semangat untuk meningkatkan taraf kehidupan belia yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia," katanya.

Katanya beliau akan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi ICT) untuk mencapai kumpulan belia di seluruh dunia dalam memperjuangkan mesej keamanan dan kemakmuran sejagat demi generasi akan datang.

WAY adalah sebuah pelantar yang cukup hebat dalam memperjuangkan suara orang muda dan ia pernah menyaksikan penglibatan pemimpin besar dunia seperti Dr Martin Luther King, Nelson Mandela dan John F Kennedy, katanya.

Idris mengakalkan jawatan itu buat penggal kedua apabila menang tanpa bertanding pada persidangan ke-16 pertubuhan itu di Tirana, Albania.

Lebih 500 wakil dari pelbagai pertubuhan di Melaka termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Naim Abu Bakar menyambut kepulangan Idris di KLIA.

Antaranya ialah Gerakan Belia 4B, warga Dewan Undangan Negeri Sungai Udang dan warga perkhidmatan awam negeri Melaka yang memegang sepanduk tertulis perkataan 'Tahniah'.

Dalam ucapan ringkas kepada mereka yang menyambut beliau, Idris berkata kemenangan itu bukanlah kerana kebolehan dirinya seorang tapi kerana sokongan pelbagai pihak kepadanya.

Kemenangan ini ditujukan kepada rakyat Melaka khususnya golongan muda, katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Mohd. Ali Rustam mengumumkan kemenangan Idris buat penggal 2014-2018 selepas pencabarnya, Prosper Hoetu dari Ghana tidak hadir menyebabkannya hilang kelayakan untuk bertanding.

Idris menjadi pemimpin kedua dari Malaysia selepas Mohd. Ali menerajui WAY yang mempunyai 120 negara anggota.

Idris Haron, WAY, Malaysia, Albania

Artikel Lain