suria

Kementerian Pengangkutan Umum Lima AJK Audit Bebas klia2

SEPANG: Kementerian Pengangkutan pada Khamis  mengumumkan nama lima anggota Jawatankuasa Audit Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menyiasat isu pemendapan di apron lapangan terbang berkenaan.

"Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi menyiasat secara terperinci isu pemendapan di apron klia2 yang bertujuan menjamin keselamatan di lapangan terbang berkenaan," katanya selepas melawat klia2 di sini, Khamis.

Liow berkata, jawatankuasa tersebut diketuai Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Empat anggota lain ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharrudin Abd Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Annies Md Ariff; Ketua Pegawai Eksekutif G and P Professionals Sdn Bhd Datuk Dr Ir Gue See Sew dan Pengurus Besar Petronas M Shobri Abu Bakar.

"Saya beri tempoh sehingga separuh pertama tahun depan untuk mereka membuat laporan dan kemudiannya saya akan mengambil tindakan terhadap apa sahaja laporan yang dikemukakan kepada saya," katanya.

Beliau berkata, laporan itu akan diumumkan kepada orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak jika perlu, berdasarkan laporan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Mohd Badlisham Ghazali berkata, terdapat tiga pasukan yang telah memulakan kerja mereka sejak Jun dan 75 peratus lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan di kawasan yang terlibat.

Bagaimanapun kerja-kerja pembaikan klia2 akan berlanjutan sehingga suku pertama 2016, kata beliau tanpa menyebut jumlah kos.


audit bebas, klia2, Liow Tiong Lai

Artikel Lain