suria

'Saya Bangga Disaman PM' - Rafizi

Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menerima surat memohon penjelasan daripada firma guaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, berikutan kenyataannya mengenai hak rakyat terhadap subsidi minyak.

Kenyataan beliau tersebut merupakan sebahagian daripada ucapannya dalam satu ceramah di Bandar Tun Razak pada 22 November lalu, di dalam video yang bertajuk “Kenapa Kita Pertahan Subsidi Minyak”.

Rafizi bagaimanapun meluahkan rasa bangganya kerana menerima surat itu sebelum tindakan saman diambil kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak.

Beliau berkata, tindakan saman yang dibuat oleh Najib telah dijangkakan selepas rakannya Tony Pua dari DAP menerima surat yang sama pada minggu lepas.

“Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang Perdana Menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB.

“Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya bersedia berdebat dengan mana-mana pimpinan Umno baik yang muda atau tua, menteri atau tidak dalam mempertahankan subsidi minyak ini.

“Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, surat ke arah tindakan saman daripada Najib itu adalah tepat pada masanya.

“Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Datuk Seri Najib Tun Razak tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka.

“Saya sekali lagi mencadangkan beliau tampil berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua pembangkang) khusus mengenai isu subsidi minyak yang menjadi isu besar di kalangan rakyat,” katanya.

Mengenai surat memohon penjelasan, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan menjawabnya dan bersedia memberi keterangan di mahkamah pada masa akan datang.

“Saya juga percaya Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi,” kata Rafizi.

rafizi ramli

Artikel Lain